Penempatan awal di Bukit Bunuh
DZULKIFLI Abdul Razak (kanan)  bersama Mokhtar Saidin menunjukkan artifak batu yang ditemui di Bukit  Bunuh, Lenggong, Perak pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.
----------
PULAU PINANG 29 Jan.- Pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia  (USM) berjaya membuktikan penempatan awal manusia wujud di Bukit Bunuh,  Lenggong, Perak iaitu kira-kira 1.83 juta tahun dahulu.
Ini  berdasarkan penemuan artifak alat batu seperti kapak genggam dan alat  repehan iaitu pisau yang melekat pada batuan oleh sekumpulan penyelidik  USM di kawasan tersebut pada Jun tahun lalu.
Pengarah Pusat  Penyelidikan Arkeologi Malaysia USM, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin  berkata, pengesahan tarikh batu dibuat melalui kaedah kesan belahan oleh  makmal geokronologi di Tokyo, Jepun selama tiga bulan.
''Pada  dua minggu lepas, kami menerima pengesahan daripada makmal itu bahawa  artifak tersebut wujud pada tarikh sekitar 1.83 juta tahun sekali gus  menolak teori Movius Line yang mengatakan tidak wujud alatan tersebut di  rantau ini.
''Tarikh itu juga membuktikan alatan kapak genggam  itu terlebih dahulu wujud di negara ini berbanding penemuan pertama yang  direkodkan wujud di Olduvaigeorge, Tanzania di Afrika sekitar 1.6 juta  tahun dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang  akhbar khas mengumumkan penemuan terbaru itu yang dipengerusikan oleh  Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di sini hari ini.
Penyelidikan  yang dikenali sebagai Kajian Kuartenari Hulu Perak dan Sabah Timur di  kawasan itu bermula pada tahun 2000 dan mereka berjaya menemui bukti  kewujudan kebudayaan Paleolitik berusia 40,000 tahun pada tahun 2003.
Turut  ditemui, bukti jatuhan meteorit yang menyebabkan batuan asal melebur  dan membentuk batuan baru iaitu suevit dan bukti impak meteorit  ditunjukkan dengan hasil penemuan batuan kuarza, anomali geofizik dan  geomorfologi kawah.
Pada tahun lalu pula, para penyelidik itu  berjaya menemui artifak alat batu seperti kapak genggam dan alat repehan  di dalam batu suevit, batuan yang wujud akibat hentaman meteorit  sebelum dihantar ke Jepun untuk pentarikhan.
Mokhtar berkata,  hasil penemuan itu juga memberi bukti baru terhadap bukti dunia yang  mengatakan manusia terawal wujud di luar Afrika hanya bertapak di  Dmanisi Georgia sekitar 1.8 juta tahun dahulu.
''Manusia terawal  di dunia yang dikenali sebagai Homohabilis telah dibuktikan wujud di  Afrika pada 2 juta tahun dahulu menakala kumpulan manusia terawal keluar  dari negara itu yang dikenali Homoerectus telah ditemui di Georgia.
''Jadi,  dengan penemuan itu, sudah jelas kumpulan manusia Homoerectus sudah  wujud di Bukit Bunuh sebelum ia bertapak di Dmanisi di Georgia (1.8  juta) Sangiran di Jawa Indonesia (1.2 - 1.7 juta) dan Yuanmou dan  Longgupo di China (1.7 - 1.8 juta) seperti yang direkodkan," ujarnya.
Beliau  berkata, penemuan batu suevit yang pertama seumpama itu di rantau Asia  Tenggara ini juga tidak menolak kemungkinan manusia awal yang wujud di  Sangiran di Jawa, Indonesia berasal dari Bukit Bunuh yang berpindah  ekoran kemusnahan oleh impak meteorit.
Dalam pada itu, Mokhtar  memberitahu, hasil penemuan itu juga telah ditunjukkan dua orang pakar  arkeologi dari Universiti Oxford di United Kingdom dan Universiti  Pensylvinia di Amerika Syarikat baru-baru ini.
''Kita juga sedang  giat mencari bukti lain seperti tulang atau gigi manusia di kawasan  tersebut bagi mengesahkan asal-usul manusia yang memulakan penempatan di  situ sekali gus mencari lebih banyak bukti.
''Saya juga  bercadang untuk memuatkan semua hasil penemuan yang memberi impak kepada  dunia ini dalam sebuah jurnal tidak lama lagi bagi membolehkan ia  menjadi rujukan kepada generasi akan datang," jelasnya.
"Beliau berkata, penemuan batu suevit yang pertama seumpama itu di  rantau Asia Tenggara ini juga tidak menolak kemungkinan manusia awal  yang wujud di Sangiran di Jawa, Indonesia berasal dari Bukit Bunuh yang  berpindah ekoran kemusnahan oleh impak meteorit".
No comments:
Post a Comment