Friday, June 11, 2010

Langkasuka

Kerajaan Melayu Langkasuka

Maklumat yang dipaparkan di sini dipetik daripada beberapa sumber internet (Lihat Internet Langkasuka dan Internet 1.12) dan beberapa buah buku seperti Che Man (1990), Dahlan (1979), Ibrahim (1950/1961), dan Ahmad Fathy al-Fatani (1994/2001) dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks nanti .

Langkasuka (atau mengikut Tarikh Fathani transliterasi Wan Mohd Shaghir 1998, ejaannya Langqasuka sebab jawinya huruf qaf bukan kap) ialah sebuah kerajaan Hindu-Budha Melayu yang kawasannya ialah utara Semenanjung Malaysia (Perlis, Kedah, Perak Utara, Trengganu dan Kelantan dan seluruh Thai Selatan sekarang (Pattani, Yala=Jalor, Narathiwat=Teluban, Songkhla=Songgora dan Satun = Setol). Pusat pemerintahannya di Patani (walaupun ada segelintir sejarawan mengatakan Kedah) yang wujud sejak kurun ke-1M hingga ke-8M walaupun namanya kekal hingga abad ke-15M. Nama kerajaan ini daripada perkataan Sanskrit: langkha yang bermakna “tanah yang indah permai” dan sukkha bermakna “suka” atau “bahagia”. China dahulu merujuk kerajaan ini sebagai Lang-his-chia atau Langya-hsiu/Lang-Ya-Hsiu (tetapi mengikut Tarikh Fathani, China juga merujuknya sebagai Caihatu/Cai Ha Tu). Tulisan Hindia dahulu menyebut nama kerajaan ini sebagai Ilangâśogam. Pengembara China terawal ada mencatatkan lawatannya ke Langkasuka pada tahun 200M. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, salinan tertuanya bertarikh 1598 yang disimpan di UKM dan versi terbaru dalam Rumi diterbitkan 1998 oleh Yayasan Karyawan dan UM) ada menyatakan Langkasuka terletak di negeri Kedah (kawasan tebing sungai Merbok) hingga ke pantai Laut China Selatan. Tidak syak lagi, inilah sumber yang menyokong pihak yang mengatakan pusat Langkasuka itu di Kedah, tetapi banyak sumber lain yang tidak menyokong hipotesis ini. Bukti konkritnya ialah prasasti yang dijumpai di Jerang dan Djere/Jere (di Patani) dan buku Negarakertagama (karya Prapanca 1365, dalam bahasa Jawa Kuno yang dijumpai di Lombok 1894) yang menyatakan Jerang dan Jere (di Patani) ialah ibu kota Langkasuka.

Seorang raja Langkasuka bernama Bhaga Datta 515M masih beragama Hindu Brahma, tetapi setelah Srivijaya menakluk satu tempat penting Langkasuka yang bernama Ligor (kini namanya Nakorn Sri Thamarat) pada 775M dan mengembangkan penaklukannya hingga merangkumi Patani sekarang maka Langkasuka mula meninggalkan Hindunya dan bertukar kepada Budha. Sejak abad ke-8M itulah Langkasuka membayar upti/ufti kepada Srivijaya. Mengikut Zulkifli (t.t), yang dipetiknya drp catatan China, kerajaan ini mencapai pembangunan budaya dan ekonomi yang tinggi dan beragama Budha. Abad ke-8 mula di bawah Sailendra dan Sriwijaya. Sekitar abad ke-11 berada di bawah Rajendra Chola raja India Selatan. Ada catatan sejarah Pali India abad ke-15M bahawasanya ada seorang raja Melayu Ligor bernama Sujitaraja (beragama Budha) berkahwin dengan puteri Khmer dalam separuh kedua abad ke-10M. Keakraban Langkasuka dgn Khmer berlarutan hingga abad ke-11M dan mendapat sinergi yang kuat daripada persemendaan/perbesanan ini.

Raja terakhir Langkasuka atas nama raja Patani ialah Phya Tu Nakpa yang memeluk Islam pada 1457 dan menukar namanya kepada Sultan Ismail Shah Zolallah fi al-‘Alam dan Fatani Dar al-Islam (Ahmad ‘Umar 2002). Akan tetapi mengikut Hikayat Merong Mahawangsa raja Langkasuka yang pertama memeluk Islam ialah yang bernama Phra Ong Mahawangsa pada 1136 dan menukar namanya kepada Sultan Mudzafar Shah (Dipetik drp ensiklopedia Wikipedia di Internet 1.13). Ibrahim (1950/1961) menyebut nama raja Patani yang pertama masuk Islam itu ialah Raja Antira/Indera dan menukar namanya kepada Sultan Muhammad Syah. Namun mengikut Ahmad ‘Umar (2002) raja-raja ini orang yang sama sahaja kerana nama anak-anaknya sama sahaja. Kerajaan Patani wujud hingga 1902 dan separuh daripada kesultanannya amat rapat dengan Kesultanan Kelantan. Namun banyaklah sumber lain lagi yang menyatakan Islam bertapak di Langkasuka/Patani sejak abad ke-11M lagi (contohnya buku Abdullah 1992). Ada pula sumber lain lagi yang dipetik oleh Ibrahim (1950/1961) menyatakan ada raja di Patalung/Batalung (di daerah Kerajaan Langkasuka dan nampaknya lebih awal daripada Phya Tu Nakpa itu) yang beragama Islam dan bernama Sultan Sulaiman. Nama Langkasuka hilang sebaru-barunya selepas abad ke-15M ini dan diambil alih oleh nama barunya, Petani atau Patani. Nama Petani atau Patani ini kemudiannya di-Arab-kan menjadi Fatani/Fathani, atau ejaan kami, Fatdani (oleh sarjana Patani terkenal Syeikh Ahmad al-Fatdani pada akhir abad ke-19M). Sejak abad ke-20 nama itu di-Siam-kan/di-Thailand-kan menjadi Pattani. Sesungguhnya antara abad ke-15M hingga abad ke-18M Patani menjadi sebuah kerajaan yang terkenal sehingga menjadi pusat tamadun rumpun Melayu hingga abad ke-20M dengan kemunculan puluhan sarjana agungnya yang bernama akhirnya al-Fatdani seperti Syeikh Daud al-Fatdani (yang termasyhur seantero dunia Islam dan hidup dalam 1769-1847, dan Syaikh Ahmad al-Fatdani (yang terkenal sebagai sarjana polimates sehingga ada yang mengatakan beliau menguasai puluhan bidang ilmu, di samping juga seorang pejuang bahasa dan kebudayaan Melayu sepanjang hidup dalam 1856-1908) yang senarai penuhnya dicatatkan oleh Ahmad Fathy al-Fatani (2002). Ada banyak cerita asal-usul nama negeri Patani seperti daripada “pantai ni” dan “pak tani”. Dalam manuskrip Ceritera Negeri Patani (nampaknya lain daripada Hikayat Patani yang lebih masyhur itu kerana lamanya buku ini ditulis, mungkin setua Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang 1612 itu, dan menjadi satu daripada manuskrip Jawi Melayu yang tua, malah salinannya yang ada di Library of Congress AS bertarikh 1730; lain juga daripada Tarikh Fatani karya Syeikh ‘Ali bin Wan Muhammad al-‘Abbasi sekitar 1450-1500M yang salinannya oleh Syeikh Daud al-Fatdani bertarikh 1228H/1813M itu (mengikut Wan Mohd Shaghir 1998) yang dipetik oleh Ibrahim (1950/1961) itu, raja yang pertama membuka Patani ialah raja keturunan negeri “Kota Mahligai” di daerah Perawan (drp perkataan Siam: Pra Wang) yang bernama Raja Seri Wangsa, dan ini sama dengan yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu itu yang disebut sebagai Raja Seri Bangsa.

Raja-raja Patani (Langkasuka Islam) bermula dengan Sultan Ismail Shah ialah anak-cucu-cicit-ciak-ciut-nya Sultan Muzafar Shah (menyerang Siam 1563 dengan 200 buah kapal dan ribuan tentera dan menawannya sekejap sebelum dikalahkan balik oleh Siam beberapa tahun kemudiannya), Sultan Mansur Shah, Patik Siam, Raja Bahadur dan diikuti oleh raja-raja perempuan atau ratu-ratu Patani: Raja Hijau (mulai 1584), Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning (mati 1651) yang dianggap zaman keemasan Patani. Siam menggelar ratu-ratu ini sebagai Phra Nang Cao Yang yang bererti Baginda Raja Perempuan, tetapi kemudian di-Melayu-kan kepada “Raja Nan Cayang”. Memang ada ahli sejarah yang menamakan raja-raja perempuan itu dengan nama Ratu seperti Ratu Hijau dsbnya itu, tetapi ini bukan nama rasmi dan penulis itu dipengaruhi Inggeris yang merujuk raja-raja itu sebagai Queen itu. Zaman keemasan inilah Patani menyerang/diserang Siam 1603, 1632, 1634 dan 1638 dengan kemenangan Patani, walaupun Siam mendapat pertolongan Belanda (secara sulit). Kehebatan Patani dalam teknologi terpancar daripada masyhurnya mariam ciptaannya yang diberi nama Seri Negara, Seri Patani dan Mahalela. Kekuatan tentera Patani terbukti daripada kemampuannya mengerah ratusan ribu asykar dan pahlawannya dan kekuatan bentengnya yang terkenal Benteng Raja Biru. Tetapi mulai akhir abad ke-17M Patani mulai merosot dan pada 1785 Patani ditakluki, dan pada 1909 Inggeris menyerahkan Patani kepada Siam dalam percaturan politik liciknya di atas kelemahan raja-raja dan pemimpin Melayu. Kekayaan dan kebobrokan raja Patani pada zaman Raja Kuning ada digambarkan oleh seorang Inggeris bernama Hamilton yang melawat rasmi ke Patani apabila beliau mencatatkan adanya ‘sebuah caping emas” yang dibuat oleh Raja tersebut yang “besarnya satu hasta beratnya lima kati”.

Dalam Perang Dunia Kedua, seorang putera mantan Raja Patani terakhir sebelum terjajah (Tengku Abdul Kadir Kamaruddin) yang berpangkat Major dalam pasukan tentera British di India Force 136 Maj. Tengku Mahmood Mahyideen namanya, sungguh memberi harapan besar kepada rakyat Patani membebaskan dirinya dari Siam kerana kemarahan British terhadap Siam yang menyebelahi Jepun. Tengku Mahmood Mahyideen telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil wilayah kerajaan Patani dahulu itu dan digabungkan dengan Tanah Melayu (Malaya) dan usahanya itu memang diketahui oleh pasukan pembebas Patani yang bergerak sejak awal penjajahan Siam ke atas Patani itu. British difahami oleh Tengku Mamood Mahyideen sebagai membayangkan persetujuan rayuan ini. Sesuai dengan Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945 oleh Kuasa-Kuasa Berikat yang menerima prinsip hak menentu nasib sendiri daripada belenggu penjajahan, maka pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun apabila Perang Dunia tamat pendirian British terhadap Siam turut berubah. British mahu kepentingannya di Asia Tenggara ini masih terjamin. Siam menggunakan senjata berasnya ke atas tanah jajahan Inggeris di Asia Tenggara untuk tujuan politiknya. Kerajaan British juga berpendirian perlunya dia mengubah dasarnya terhadap Siam atas desakan sekutunya, AS, yang mahu mengekalkan pengaruhnya ke atas wilayah Siam seperti sebelum Perang Dunia dahulu. Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu sendiri pada tahun 1948, menjadi faktor berubahnya dasar British di Tenggara Asia khususnya terhadap nasib Patani. Dalam hal ini, British mula menganggap Siam sebagai negara penampan ancaman Komunis China ke Asia Tenggara. Justeru, British bertekad untuk memastikan kestabilan politik Siam dan memihak Barat. Khususnya, British berpendapat kerjasama dengan Siam amatlah perlu bagi menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu dengan Siam itu, dan Patani wajarlah dikekalkan dipangkuan Siam!

Dengan perkembangan ini, maka selepas Persidangan Songkla pada awal Januari 1949, pihak British di Tanah Melayu atas kehendak pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuang Patani. Pertubuhan pembebasan Patani diharamkan dan Tengku Mahmood Mahyideen terus ditekan, manakala ramai para pemimpin barisan pejuang patani termasuk ketua pejuang dan ulama Patani yang bernama Haji Sulung dihukum penjara dan akhirnya mati tanpa kubur. Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen sendiri pada tahun 1954 (mati dibunuh juga). Sejak itu pemberontakan para pejuang Patani hanya bertindak sebagai perjuangan gerila yang kekuatannya ibarat air pasang-surut sahaja sehingga sekarang. Satu kisah perjuangan Patani 1902-2002 yang cukup komprehensif dan apadat dapat ditelaah dalam buku Ahmad ‘Umar Capakis (2002), yang antara lainnya menceritakan dasar dan perjuangan beberapa barisan pembebasan patani seperti GAMPAR (Gabungan Melayu Patani Raya) yang ditubuhkan pada 1948 di Kelantan dengan pemimpin pertamanya Nik Mahmud Abdul Majid yang berjuang untuk menyatukan Patani dengan Malaya/Persekutuan Tanah Melayu, BRN (Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani yang ditubuhkan pada 1960 yang berjuang untuk autonomi Patani, yang pemimpin pertamanya Tg Abdul Jalaludin, dan yang terkenal hingga sekarang, PULO (Patani United Liberation Organisation) yang ditubuhkan pada 1967 untuk berjuang bagi kemerdekaan Patani yang diketuai pertamanya oleh Tg Bira Kutanila.

Tambahan Pascaterbit:

Ejaan “Melayu” atau sebahagian negaranya “Malaya” (Semenanjung Malaysia+ Thailand Selatan + Singapura) itu adalah versi ejaan Rumi/Latin yang muncul tahun 1950-an sahaja. Walaupun system ejaan Rumi bahasa Melayu di bawah jajahan Inggeris pertama kali dibuat oleh Wilkinson 1904, dan diperbaiki oleh Za‘aba pada 1949, sistem-sistem itu tidaklah dikuti dengan setianya kerana adanya sistem transliterasi Arab-Rumi oleh penulis-penulis Eropah, sedangkan Jawi ialah huruf Arab dengan tambahan hanya beberapa huruf rekaan orang-orang “Melayu” kerana keperluan sebutan perkataannya yang ejaannya kurang sempurna jika hanya dipakai huruf Arab asli sepenuhnya. Sebelum 1957 nama bangsa dan negara “Melayu” sekarang ini ditulis dengan rasminya dalam Jawi (mim lam alif ya yang bagi orang yang tidak tahu cara bacanya yang sebenar boleh jadi Mlaya, Malaya, Melaya, Mlayu, Malayu, Melayu atau Mlayi, Malayi, Melayi). Oleh itu ejaan Ruminya memanglah pelbagai. Mengikut petua transkripsi Arab-Rumi oleh sarjana Orientalis (sejak abad ke-19 lagi) ejaannya tentulah menjadi Mlay, Mlaya atau Mlai dan bacaannya tentunya mengikut loghat bangsa-bangsa Eropah itu. Bagi orang awam di Eropah, ejaannya berbagai-bagai sehingga mewujudkan ejaan Inggerisnya Malay dan Malaya, Perancis: Malais dan Malaise, Sepanyol: Malaio dan Malayo Portugis Malaio and Malaia. Di singapura, apabila akhbar Jawi hendak di-Rumi-kan oleh Jepun (Zaman Pemerintahan Jepun di Asia Tenggara) pada tahun 1943 ejaan Jawi untuk sekarang ini di-Rumi-kan sebagai “Melayu” atau “Malaya” dieja sebagai Malai lalu akhbar “Melayu” Rumi pertama di Singapura dan “Malaya” namanya Berita Malai. Tentunya bacaan Malai pada masa itu ialah mengikut bacaan Jawinya iaitu Ma-la-yu atau Me-la-yu atau Ma-la-ya atau Me-la-ya. Huruf Jawi dalam tamadun bangsa di Asia Tenggara ini digunakan sejak abad ke-14M hinggalah pertengahan abad ke-20 ini (Indonesia mengisytiharkan huruf Rumi/Latin sebagai huruf rasmi bahasanya apabila tertubuhnya negara baru itu pada 1945; Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mengisytiharkan huruf Rumi/Latin sebagai huruf rasmi bahasanya apabila tertubuhnya negara baru itu pada 1957, dan diikuti oleh Sabah, Sarawak dan Singapura apabila apabila tanah jajahan Inggeris itu bersama PTM menubuhkan negara baru bernama Malaysia pada 1963. Hanya Brunei yang masih menggunakan Jawi secara rasmi bersama Rumi sehingga sekarang. “Rumpun Melayu” di negara-bangsa lain seperti Patani (di Thailand) dan Campa (asalnya di Vietnam tetapi kini boleh dikatakan hanya di Kemboja sahaja) dan Mindanao (Filipina) masih juga menggunakan Jawi dalam urusan agama/Islam di samping huruf rasmi negaranya masing-masing).

No comments:

Post a Comment