Saturday, June 12, 2010

Satu Ketika dulu



"Hanyut tanah tak bertuan
Rakyat tidak bertuan
Ditabal aku di Segara Masin
Raja gelar..."

(Silkhannaz -Merong Mahawangsa)



Sebuah lagi kerajaan rumpun Melayu purba yang sebahagian tempoh kewujudannya selari dengan Kerajaan Funan ialah Kerajaan Campa di Vietnam yang tidak kurang dilupai oleh orang rumpun Melayu kini walaupun kewujudannya terus berlarutan serentak dengan zaman kesultanan Melaka hingga abad ke-15M (akhir-akhir abad ke-2M hingga pada 1471). Pelarian orang Champa inilah yang kini menjadi orang Champa di Kemboja itu dan lamanya orang Campa ini di Kemboja itu dan hampir sudah tiadanya orang Campa di Vietnam itu menjadikan orang Champa kini dikenali sebagai orang Kemboja sahaja. Jika bahasa bagi orang Funan itu tidak begitu jelas ke-Melayu-annya kerana prasasti Funan yang dijumpai setakat ini sama ada bahasa Sanskrit, bahasa Mon (peribumi Indocina yang kebanyakannya di Kemboja, Myanmar dan Thailand Utara) atau Khmer sahaja, tetapi ke-Melayu-an bahasa Campa hampir tidak dipertikaikan lagi. Hubungan bahasa Mon dan Khmer itu dengan bahasa Melayu dikatakan samalah dengan hubungan bahasa Melayu dengan bahasa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Lihat umpamanya pandangan Wilkinson 1911), tetapi bahasa Melayu Campa memang sudah diperakui sebagai bentuk bahasa Melayu Purba/Kuno atau satu daripada loghat/dialek bahasa Melayu, yang banyak perkataannya masih hidup dan sama atau dapat dikenali hingga sekarang (lihat umpamanya kamus bahasa Campa-Melayu oleh Po Dharma 2000).

Champa merupakan sebuah kerajaan yang bertamadun tinggi pada satu ketika dahulu. Kedudukan kerajaan yang baru sahaja lenyap itu terletak di bahagian tengah Vietnam sekarang. Kewujudannya telah terbukti dari dokumen-dokumen Cina sejak tahun 192 Masehi. Hasil kajian epigrafi, catatan-catatan Cina, orang Eropah mahupun Vietnam dan Arab telah mengatakan bahawa kerajaan Campa terletak di tanah-tanah rata sepanjang persirian pantai laut China Selatan (sebelumnya dipanggil: Laut Champa) dan dataran-dataran tinggi di barat tanah rata2. Kini kerajaan Champa telah dipadam dari peta dunia sejak tahun 1832 oleh seorang maharaja Vietnam yang bergelar Minh Menh.

Penduduk kerajaan Champa terdiri daripada orang Cham, yang mendiami kawasan persisiran pantai, dan yang lain mendiami dataran tinggi3. Mereka yang tinggal di dataran ini dibahagikan kepada dua kelompok. Pertama, kumpulan rumpun bahasa Austronesia, yang disebut Chamik. Ia terdiri dari orang Cham sendiri serta Jerai, Rade, Cru dan Raglai. Kedua, ialah kelompok yang terdiri daripada orang Ma, Mnong, Sre, Stieng dan orang Bahnar. Mereka dari rumpun Austroasiatik, kumpulan Bahnarik.

Campa meninggalkan sebanyak 98 buah prasasti (batu bersurat) dalam bahasa Melayu (Purba/Kuno) dan 29 buah prasasti dwibahasa (Sanskrit-Melayu), 43 buah prasasti dalam bahasa Sanskrit yang ditulis pada Zaman Kerajaan Campa itu dan dijumpai di Vietnam. Prasasti yang tertuanya dalam bahasa Melayu itu bertarikh sekitar kurun ke-4M dan di prasasti itu terpancar adanya pemerintahan Melayu yang bersistem di Vietnam itu. Prasasti tertua zaman Kerajaan Campa itu yang ditulis dalam bahasa Sanskrit ialah yang bertarikh 192M. Hampir semua prasasti ini sudah ditranskripsi ke Rumi dan diterjemah kepada bahasa Perancis. Dalam Majumdar terdapat 130 buah manuskrip yang diterjemah kepada kepada Inggeris. Hanya sedikit sahaja yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu kini. Status mutakhirnya mengikut para ilmuwan sejarah Malaysia seperti Shaharir Mohd Zin dan Mohammad Alinor Abdul Kadir,prasasti Campa yg ditemui hingga kini ialah berjumlah 205 buah: 109 dalam Melayu Campa, 29 bahasa campuran dengan Sanskrit dan 23 buah yang belum diketahui bahasanya. Prasasti Khmer purba pula sekitar seribu buah: 45% drpnya dalam bahasa Khmer purba, 30% Sanskrit dan selebihnya bahasa campuran Khmer-Sanskrit. Usaha sedang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik etnomatematik di INSPEM, UPM untuk menterjemah semuanya kepada bahasa Melayu kini. Sebenarnya orang-orang Campa masih menulis walaupun selepas negaranya hancur. Malah mengikut Mohamad Zain (1993), seorang keturunan Campa sendiri dan kini menjadi pensyarah sejarah di UKM menyatakan ada 438 buah manuskrip Campa (dalam aksara Jawi, aksara Campa dahulu atau aksara Vietnam) yang tersimpan di beberapa buah perpustakaan di Perancis terutamanya di EFEO (Ecole Francais d’Extreme-Orient). Perkembangan terbarunya, ada dilaporkan terdapatnya manuskrip lain lagi di AS dan UK yang menambahkan lagi bilangan ini.

Nama raja Campa yang tertulis pada beberapa buah prasasti (kerana kehebatannya) ialah Raja Bharavarman I yang memerintah dalam abad ke-6M. Raja-Raja Campa yang lain ialah (mengikut Internet 1.11) terdapat lima raja sebelumnya (Sri Mara 192M, Fan Hsiang/Hiong (270M), Fan Yi (284-336M), Fan Wen (336-349M) dan Fan Fo (349M-?). Kemudian 3 orang selepas Bharavarman I dan beberapa orang bernama Fan lagi termasuklah Fan Yang Mai (431M), diikuti oleh beberapa lagi termasuk Rudravarman I (529M), Prakadasadharma atau Vikrantavarman I & II (653-730M), Rudravarman II (749), Rudravarman III (1061-1074M, menyerang Vietnam Utara 1068M)…… Jaya Simhavarman I (898M), II (1030-1044M), III (meninggal 1307M dan dikenali sebagai Che Man oleh Vietnam atau Pou-ti oleh China), IV (1307-1312M), V (1400-1441M)…….Che Bong Nga (1360-1390M, raja Campa terakhir yang kuat) diganti oleh Raja Jaya Simhavarman Sri Harijatti atau La Ngai oleh Vietnam (mati 1400) ……P’an-Lo T’ou-T’siuan (1460-1471, tahun 1471 ialah tahun kekalahan teruk Campa Vijaya oleh raja Vietnam Le Loi sehingga 40 ribu orang Campa dibunuh dan lebih daripada 30 ribu diusir keluar Vijaya).

Sejarah kerajaan Campa didominasikan oleh siri peperangan dengan jirannya dari utara iaitu Vietnam yang lahir pada tahun 939. Peperangan pertama antara kerajaan Campa yang berpengaruh India dan Vietnam yang berpengaruh Cina berlaku pada tahun 982. Berhadapan dengan kemunculan kuasa baru Dai Viet (Vietnam) ini, sedikit demi sedikit sempadannya ditolak ke selatan. Dalam proses perluasan wilayah Dai Viet tersebut yang dikenali Nam-tien iaitu kemaraan orang Viet ke Selatan, sempadan utara Champa terpaksa berpindah buat kali pertama pada tahun 1069.

Setelah itu sempadannya terpaksa berpindah lagi ke Selatan pada tahun 1306, dan pada tahun 1471 sempadannya telah berpindah ke kedudukan baru iaitu apabila Vijaya dimusnahkan sama sekali. Tarikh ini juga dipercayai sebilangan pengkaji sebagi tarikh tamatnya identiti kerajaan Campa. Kehancuran Vijaya ini dilakukan oleh satu pasukan tentera Viet sekuat 250 000 orang. Sejumlah besar dari 90 000 orang Cham telah terkurban dan yang selebihnya dibawa ke negara Viet.

Walaupun pada tahun 1478M, raja Campa Bo Tri Tri menguasai Vietnam selatan sekarang, di Kauthara dan Panduranga, dan kerajaan Campa baru ini diiktiraf China, namun keadaannya “hidup segan mati tak mahu” sahaja. Kerajaan Campa baru ini dikatakan berupa kerajaan yang rajanya beragama Islam dan membuat hubungan baik dengan kerajaan rumpun Melayu Islam di Alam Melayu ini seperti Kerajaan Melaka, dan Johor-Riau. Dalam keadaan diasak oleh Vietnam, raja Campa Islam bernama Po Klau Halu (1579-1603M), masih mampu menghantar pasukan tenteranya membantu kerajaan Johor menentang Portugis. Pada 1653M kerajaan Campa mengecil lagi sehingga hanya tinggal di Pandurangga (Phanrang sekarang) sahaja. Akibat peperangan saudara kerajaan Vietnam, kerajaan Campa Panduranga tersepit dan rajanya Po Cei Brei pada 1802M bersama ribuan pengikutnya lari ke Kampuchea. Raja Campa di Panduranga sejak itu berupa patung kerajaan Vietnam sahaja. Kebangkitan orang Campa menentang Vietnam cukup acap kali berlakunya tetapi yang agak besarnya (ramai yang mengatakan terakhir besarnya) ialah pada 1833-1935 di bawah pimpinan mujahid Katip Sumat dan nasionalis Ja Thak Va. Kematian mereka ini boleh dikatakan menamatkan riwayat penentangan Campa di Vietnam, walaupun saki baki pemberontakan orang-orang Campa (bersama-sama dengan peribumi Indochina yang lain) berjaya membentuk pakatan pemberontakan yang bernama FLM=Front de Liberation des Montagnards = Barisan Kebebasan Penghuni Gunung 1955 dan menukar namanya kepada BAJARAKA = Bahnar+Jarai+Rade+Kaho (nama suku-suku kaum Campa) 1958 dan kemudiannya bersatu dengan beberapa barisan pemberontak di Kemboja termasuk FLC= Front de Liberation du Champa = Barisan Kebebasan Campa yang ditubuhkan oleh Kol. Les Kosem, Kolonel Cam di Kemboja lalu menjadi FULRO=Front Unifie de Lutte des Races Oprimees = Gabungan Barisan Pembebasan Bangsa-Bangsa Tertindas) 1963. Barisan kebebasan Campa ini melancarkan beberapa kali pemberontakan di Vietnam selepas tahun 1955 itu (Lihat Mohammad Zain dan Nik Hassan Suhaimi 2004, dan Po Dharma 2005b). Mereka ini mahu kuasa autonomi di kawasan pergunungan di Vietnam Tengah (Provinsi Kontum) kawasan yang didiami khas oleh orang-orang Campa (mendapat perlindungan) pada masa pemerintahan Perancis di Vietnam dahulu. Kawasan ini di rampas oleh kerajaan Vietnam sejak pemerintahan Ngo Din Diem untuk penempatan pelarian Vietnam Utara pada 1955 dari tekanan komunis.

Pemberontakan FULRO yang agak besar kerana mendapat sokongan kerajaan Kemboja ialah pada 1964 tetapi gagal sepenuhnya. Pada 1973 lagi sekali pemberontakan FULRO di bawah Kpa Koi berlaku bersama komunis dan berjaya merampas wilayah pergunungan Vietnam Tengah itu. Namun pada 1975 komunis Khmer Rouge berjaya menawan Kemboja dan Jen. Les Kosem pun lari ke Perancis dan semua pemimpin FULRO yang lain ditangkap dan dibunuh bersama-sama ratus ribuan, malah dilaporkan jutaan, orang Khmer, satu pembunuhan beramai-ramai yang bersistem dan terkenal itu, tetapi tidak begitu dihebah-hebahkan sangat di Alam Melayu ini kerana kepekaan rumpun Melayu ketika itu pun kepada orang Campa sudah hampir tiada, atau tidak setinggi terhadap Melayu Patani lagi. Pada 1979 Khmer Rouge memaksa FULRO yang diketuai Kpa Koi bersatu dengannya untuk melawan Komunis Vietnam dan Khmer Rouge berjaya pada 1994, tetapi FULRO tiada mendapat apa-apa, malah terus ditindas lebih teruk lagi! Selepas itu FULRO meminta Bangsa-Bangsa Bersatu membenarkan FULRO berhijrah ke Amerika Syarikat dan terus berjuang dari jauh. Pada 2001 kaum minoriti di Vietnam Tengah (dengan sokongan FULRO?) memberontak lagi dan kerajaan Vietnam memerintahkan penghapusan total kaum minoriti ini lalu beribu-ribu orang Campa ini lagi lari ke Kemboja lagi dan meminta izin Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berhijrah ke AS. Pada 10 dan 11 April 2004 kaum minoriti Vietnam ini dengan sokongan FULRO memberontak lagi dan Hanoi menghancur-leburkannya. Sedihnya berita-berita pemberontakan ini langsung tidak sampai kepada kita kerana kepekaan kita terhadap rumpun sendiri itu sudah lenyap ditimbus oleh kolonialisme dan kemudiannya nasionalisme sempit kita ditambah pula KEBANYAKAN ORANG MELAYU KINI SUDAH BUTA SEJARAH DAN BERPECAH BELAH.Mungkin 100 tahun akan datang terdapat dua jenis kaum yang berasal dari rumpun yang sama iaitu kaum Umno dan Kaum Pas yang berlainan budaya dan bahasa.


Bagaimana teraturnya pentadbiran dan pengurusan kerajaan Campa yang terbayang daripada kewujudan jawatan-jawatan itu dapat difahami lagi dengan adanya sistem subsidi dan cukai kepada kaki tangan kerajaannya, adanya unit-unit sukatan seperti yak dan jak (untuk berat atau isipadu beras dan sebagainya) yang masih dipakai oleh para petani sekarang, di Kelantan umpamanya; sukatan jarak li dan chang (kira-kira sama dengan 10 kaki atau sekitar 3 meter); unit luas yang dinamai sinjol, makik, malau dan satam; unit berat tael (ejaan Melayu kini ialah “tahil”, dan masih dipakai hingga sekarang), dram (sekitar 3 gm dan 12 dram = setael; di Barat drum yang berpunca drp bahasa yang sama, Sanskrit: drama, digunakan untuk isipadu cecair), thil atau tei untuk emas dan benda-benda yang berharga seperti itu (sekarang menjadi tahil juga), karsa atau kar untuk benda lain yang seberat thil juga, kemudian unit yang lebih tinggi lagi: pala = 4 karsa, tula = 100 pala dan bhara = 20 tula. Unit-unit lain lagi yang belum diketahui kuantitinya mengikut sukatan moden ialah panda, kattika dan pana. Semua ini berlaku sekurang-kurangnya sejak abad 8M lagi. Wujudnya sistem unit sukatan yang agak lengkap ini tidak menghairankan apabila mengenangkan Campa juga, bersekali dengan Kerajaan Funan-Chenla, sudah mendahului dunia dalam ciptaan sistem angka perpuluhannya dengan wujudnya sistem tersebut sekurang-kurang sejak abad ke-6M lagi (lihat Fazura 2005). Unit-unit sukatan di atas wujud di Campa sekurang-kurangnya dalam abad ke-12M kerana unit-unit itu tercatat di prasasti Campa bertarikh 1150M

Bilangan tiga, tujuh dan seratus menjadi nombor mistik Campa dalam upacara kematian yang masih diwarisi oleh orang-orang rumpun Melayu sekarang walaupun ini bertentangan dengan ajaran Islam: orang biasa dibakar secepat mungkin pada hari kematian, bagi orang besar upacara dibuat 3 hari selepas kematian, raja selepas 7 hari dan 7 hari kemudian orang datang membakar jostik dan menangis lagi pada abu mayat dan ini diulangi 7 kali setiap minggu sekali, pada hari ke-100 selepas 3 tahun kematian mereka membuat upacara mengingatkan kematian itu lagi.

Di sepanjang wujudnya kerajaan Campa itu, tentu wujud pemimpin-pemimpin besarnya yang mengamalkan suatu cara kepemimpinan dan kepengurusan yang dianggap hebat sekurang-kurang pada zaman itu, terutamanya pada zaman kemuncaknya yang dinamai Zaman Mison atau My-Son itu. Umpamanya, Raja Bharavarman I (abad ke-6M) itu layak ditakhtakan sebagai seorang raja agung kerajaan Campa.

Sebagai pengetahuan tambahan,penyelidik bersekutu INSPEM (UPM) turut mengemukakan fakta bahawa di antara sempadan Greek dan Albania, terdapat rumpun Melayu Champa yang mendiami di perbatasan tersebut, yang mana mereka ini mungkin dibawa ke sana oleh para penjajah ataupun aktiviti mengimport sarjana sebagaimana yang dilakukan oleh Imperium China bagi tujuan pemindahan pengetahuan yang terdapat di Alam Melayu. Kehadiran bangsa Chameria ini, boleh menimbulkan satu hipotesis, bahawa sebenarnya terdapat hubungan lama antara Tamadun Melayu dengan beberapa Negara Eropah Timur. Namun, sudah tentu, suatu penyelidikan mendalam haruslah digarap untuk mengesahkan hipotesis ini.

Orang-orang Melayu sejak berabad yang lalu cuba dihalau dari Suvarnabhumi,menghadapi pelbagai rintangan yang getir,cabaran yang pedih dan rentetan sejarah yang meletihkan,namun dengan rahmat Allah s.w.t bangsa ini masih dapat memegang tiga negara iaitu Malaysia,Indonesia dan Brunei.Pelbagai cara subversif dan perang saraf digunakan untuk memecahbelahkan bangsa misteri sehingga sesetengah rumpun Melayu di Indonesia sudah tidak mengenal kawan dan lawan mereka.Ada di antara mereka termakan racun yang mengatakan mereka adalah bangsa Indonesia,berbeza dengan bangsa Melayu di Malaysia padahal bahasa yang mereka gunakan adalah sama iaitu bahasa Melayu.Di Malaysia sendiri Melayunya terdiri daripada Jawa,Banjar,Mandiling,Rawa,Boyan,Minang dan pelbagai lagi malah malah Negeri Sembilan itu juga asalnya adalah negeri orang-orang Melayu Minangkabau.MEREKA SEBENARNYA TELAH BUTA OLEH SEMPADAN GEOGRAFI YANG DIBUAT OLEH PENJAJAH DARI MEMIKIRKAN BETAPA LUASNYA RUMPUN MELAYU ITU.



No comments:

Post a Comment