Kemampuan tukang dan artisan perahu Melayu yang lain membuat inovasi  telah diperhatikan pegawai tadbir Inggeris ketika mereka berkhidmat di  negerinegeri Melayu masa dahulu. Mereka itu termasuk Hugh Clifford yang  pernah melawat Terengganu pada tahun 1895. Dalam lawatan itu, beliau  telah menyatakan bahawa tukang perahu di Terengganu boleh membuat perahu  bentuk barat yang cantik setelah meniru sebuah model yang diperolehi  dari Singapura. Hasil kerja tangan tukang Terengganu itu lebih kemas dan  cantik berbanding dengan hasil
kerja tukang perahu lain di pantai  barat Semenanjung. Tetapi, dengan nada yang sinis Clifford menganggap  kepandaian ini lebih berupa peniruan dan bukan hasil kreativiti,  memandangkan orang Melayu terlalu terikat kepada tradisi .
Kreativiti  tukang timbal lebih terserlah pada ukiran yang ditunjukkan pada  beberapa bahagian perahu mereka. Yang komited pada agama akan mengelak  dari mengukir imej yang menyerupai manusia dan binatang, selain  menekankan ukiran yang berbentuk ayat al-Quran, seperti yang dilakukan  tukang rumah. Bahagian perahu yang tidak sesuai diukirkan ayat al-Quran  seperti pada kayu penyangga layar yang biasa dikenali sebagai bangau  yang mungkin akan
dilangkah berulangkali oleh awak-awak ketika  bekerja, ayat al-Quran akan diganti dengan ukiran awan larat yang  mempunyai motif umbi, sulur, daun dan bunga yang membawa nilai keindahan  dan simbolisme yang sama, iaitu kemakmuran dan infiniti Tuhan. Di  kalangan orang yang masih kuat berpegang kepada anamisme, peralatan  perahu seperti ‘Bangau’ dan ‘Okok’ akan memaparkan figur tokoh-tokoh  wayang kulit, seperti Raja Bota.
Sementara itu, penampilan awan larat adalah alternatif dan juga inovasi  menggantikan penampilan lembaga manusia atau haiwan seperti yang berlaku  di Thailand, Kemboja dan Bali.
Selain evolusi bentuk perahu,  terdapat beberapa peralatan tambahan telah
dipasang pada perahu  Melayu, khususnya yang digunakan nelayan sekarang. Peralatan yang  dimaksudkan itu adalah lunas bilga, yang dalam istilah tempatan  dipanggil pisang yang berfungsi untuk menggurangkan olengan kapal.  Pisang ini adalah pengubahsuaian dari katir (outriger) yang terdapat  pada kebanyakan perahu di Alam Melayu dan Polinesia. Walaupun belum  dapat dipastikan dari mana dan bila bermulanya inovasi ini, tetapi dalam  industri pembinaan perahu
Melayu, pisang mungkin telah digunapakai  sekitar tahun 70-an dan mungkin diambil dari perahu Siam.
Kini  warisan seni pembuatan dan pertukangan kapal-kapal Nusantara di Malaysia  diwarisi oleh tukang-tukang dari Terengganu.Contohnya Haji Yusuf yang  banyak memenangi anugerah inovasi dalam pembuatan kapal dari  kerajaan.Pengetahuannya mereka pelan dan membuat perahu layar  membolehkannya mendapat tempahan dari pengemar-pengemar perahu
layar  dari Eropah yang tertarik dengan kaedah pembuatan perahu Melayu.Sejak  tahun 1965 dia telah membuat perahu untuk orang Eropah.Perahu buatannya  telah sampai ke seluruh dunia sehingga ke Alaska.Beliau juga menerima  tempahan membuat bot nelayan dan kapal persiaran. Sehingga kini, beliau  telah membuat lebih seratus buah perahu yang panjangnya antara 20 hingga  30 meter untuk pelanggan dalam dan luar negara.
Kapal Pinisi  (sejenis perahu besar dikenali sebagai Pinis Gobel Terengganu) adalah  kapal yang dibuat terutamanya dari kalangan orang Bugis,satu kaum  Nusantara yang terkenal sebagai pelaut,pedagang dan lanun yang  berkemahiran tinggi.Perbezaan yang ketara dari pembuatan perahu pinisi  dengan teknologi pembuatan kapal Barat adalah,jika orang Barat membina  perahu dari rangkanya dulu barulah dibina dindingnya,tapi pembuatan  pinisi tradisi dimulakan dengan dinding dulu barulah setelah itu dibina  rangkanya.Segala teknik dan peraturan pembuatan perahu zaman dulu pernah  dibukukan di dalam satu manuskrip atau kitab pembuatan kapal kuno yang  dinamakan "Jaya Langkara" menurut orang-orang tua di Ara,Indonesia malah  kitab itu pernah dipinjam oleh Belanda,malangnya hingga kini belum  dikembalikan (disimpan di dalam muzium Belanda).Sedangkan prinsip  perletakan papan papan teras dan aturan aturan dasar lainnya dalam  pembuatan pinisi ini disusun oleh Ruling (orang Bugis yang menjadi  tukang timbal atau tukang kapal).Sampai sekarang dalam pembuatan perahu  pinisi aturan Ruling inilah yang menjadi panduannya.Disamping itu orang  Bugis memiliki undang undang pelayaran dan perdagangan yang disusun oleh  "Ammana Gappa" yang namanya sempat diabadikan pada pelayaran expedisi  pinisi ke Madagaskar.
No comments:
Post a Comment