Thursday, July 1, 2010
"MELAYU" ITU Artinya APA
Penghijrahan keturunan Nabi Ibrahim ‘alais ini tentunya menerusi benua atau lautan Hindia/India, kemudian ke Indocina dan seterusnya ke Alam Melayu, bukannya menerusi Yunan di benua China - dan ini lebih bersesuaian dengan mitos-mitos peribumi di Indocina serta mitos “Melayu” sendiri. Dalam makalah yang dipaparkan oleh NaiffusDamha dalam ruangan bicaranya di internet, memang terdapat pernyataan kemungkinan penghijrahan itu berlaku mengikut darat menerusi Benua Hindia ke Tibet sebelum ke “Semenanjung Melayu”(yang boleh menyokong teori “Melayu berasal dari Yunan”).
Dalam buku Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang 1612 pula turut menceritakan asal-usul “raja Melayu” pertama (di Palembang) berasal dari keturunan putri Hindia bernama Puteri Syahrul Bariyyah dengan Raja Iskandar Dzulqarnyn manakala mitos serupa turut diceritakan dalam sejarah tamadun “rumpun Melayu” yang terawal iaitu tamadun Kerajaan Funan, Kerajaan Campa dan Kerajaan Langkasuka sejak abad ke-1M lagi.
Terdapat persamaan diantara Teori al-Athir dan Tun Sri Lanang dengan teori yang telah dikemukakan oleh de Eredia pada awal abad ke-17M - seorang pegawai Portugis di Melaka (juga seorang ahli matematik kejuruteraan ukur) yang mengatakan bahawa “Melayu”(ejaan Portugisnya Malaio) itu berasal dari suku kaum Attayo/Attay/Cattayo di Serica negeri Scyth/Scythia di Parsi (Iran) yang juga berketurunan Yunani. Minat de Erredia kepada “Melayu” boleh difahami kerana beliau boleh dianggap sebagai seorang Bumiputera kerana emaknya adalah "Melayu”(manakala bapanya pula Portugis).
Perkataan “Melayu” adalah versi baru kepada perkataan asalnya iaitu "Malaya" - perkataan Sanskrit yang bermaksud “Gunung”(Perkataan Himalaya di Tibet yang terkenal itu bermakna “Gunung Tinggi” atau “Gunung Salji” dan di pulau Jawa juga ada kawasan tasik di pergunungan tinggi yang dinamai Tasik Malaya hingga sekarang).
Perkataan asal “Melayu”- iaitu “Malaya” adalah merupakan terjemahan perkataan Hindia (Sanskrit) kepada Bnom, Pnom atau Phnom - bahasa Mon-Khmer. China Purba menyebut Bnom/Pnom/Phnom ini sebagai Fou-Nan, Fou-nan atau Founan sebagai Funan bagi merujuk sebuah kerajaan rumpun Melayu di Kemboja iaitu Kerajaan Funan yang telah wujud pada abad ke-1M hingga 6M.
Oleh itu daripada segi sejarah dan etimologi perkataan “Melayu” ini jelas sudah wujud sekurang-kurang pada awal kurun Masehi.
Pada sekitar pertengahan abad ke-4M lagi sudah terdapat catatan sejarah dari China yang mencatatkan mengenai kedatangan wakil rasmi Kerajaan Mo-lo-yeu dengan pelbagai ejaan ke negeri China seperti yang dilaporkan oleh Obaidellah (1986) dan Liang (1996).
Kerajaan atau orang yang disebut sebagai “Melayu” ini telah dicatat dalam aksara China dengan ejaan transkripsinya dalam versi yang plbagai iaitu - Mo-lo-yu, Molo-yoou, Mali-yu-eul, Ma-lo-yu, Mo Lou Yu, Mo Lo Yu, Mo Lou Y, Mo Lou Yuu, Ma Li Yi Er, Ma La Yu, Wu Lai Yu dan Wu Lai Yu, yang merujuk kepada Malaya.
Tuesday, June 29, 2010
Asal-usul Melayu Semenanjung Malaysia
Istilah 'Melayu Anak Dagang' merujuk kepada suku-suku pribumi Nusantara yang bukan penduduk asal Semenanjung. Mereka berasal dari Kepulauan Indonesia, Champa, Filipina dan Brunei.
Melayu Anak Dagang merangkumi:-
* Suku Aceh
* Suku Banjar
* Suku Batak-Mandailing
* Suku Boyan (Bawean)
* Suku Bugis
* Suku Cham
* Suku Jawa
* Suku Kerinci
* Suku Minangkabau
* Suku Rawa
* Suku Yunnan
* Suku Jambi
* Suku Riau
'Melayu Anak Dagang' tidak dianggap sebagai pendatang di Semenanjung kerana penduduk Nusantara menganggap bahawa Kepulauan Melayu adalah hak milik bersama. Itu adalah sebab utama mengapa kerajaan Malaysia memberi mereka status Bumiputra.
Istilah 'Melayu Semenanjung' pula merujuk kepada suku-suku pribumi Nusantara yang merupakan penduduk asal Semenanjung.
Melayu Semenanjung merangkumi:-
Suku Kedah Tua
- suku pribumi Semenanjung yang mendirikan Kerajaan Kedah Tua pada awal abad ke-4 Masihi.
- merujuk kepada orang Melayu di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, utara Perak dan selatan Thai (Satun, Trang, Phuket dll)
Suku Perak
- suku pribumi Semenanjung yang mendirikan Kerajaan Gangga Negara pada awal abad ke-2 Masihi.
- merujuk kepada orang Melayu di Perak (bahagian tengah dan selatan)
Suku Kelantan dan suku Patani
- dua suku pribumi Semenanjung yang mendirikan Kerajaan Langkasuka pada abad pertama atau ke-2 Masihi.
- merujuk kepada orang Melayu di Kelantan, Patani dan wilayah-wilayah lain di selatan Thailand.
Suku Terengganu
- suku pribumi Semenanjung yang asalnya dari keturunan penduduk Kerajaan Langkasuka yang berhijrah ke Terengganu (Terengganu adalah sebahagian jajahan Langkasuka)
- merujuk kepada orang Melayu di Terengganu.
Suku Pahang
- suku pribumi Semenanjung yang mendirikan Kota Muang Pahang - salah satu kota Naksat (Naksat city) di bawah pemerintahan Langkasuka
- Kota Muang Pahang masih tidak ditemui sehingga sekarang.
- merujuk kepada orang Melayu di Pahang.
Suku Johor
- suku pribumi Semenanjung yang mendirikan Kota Gelanggi atau Perbendaharaan Permata pada 650 tahun Masihi.
- Kota Gelanggi adalah dipercayai ibu kota pertama empayar Srivijaya sebelum berpindah ke Palembang, namun kota tersebut masih tidak ditemui.
- merujuk kepada orang Melayu Jati di Johor.
Orang Melayu, kebudayaan Melayu dan Bahasa Melayu (termasuk Bahasa Indonesia) berasal dari Semenanjung. Srivijaya juga bermula di Semenanjung dan bukannya Sumatera.
Jika benar orang Melayu berasal dari Kerajaan Melayu di Sumatera, maka siapa yang mendirikan Kerajaan Langkasuka, Gangga Negara, Kedah Tua, Kota Gelanggi, Kota Muang Pahang, Chih-Tu dan Ligor? Semua kerajaan-kerajaan tersebut wujud jauh lebih awal dari Kerajaan Melayu.
Penduduk Indonesia berhijrah dari Dataran Yunnan ke Kepulauan Indonesia melalui Semenanjung Malaysia. Menurut teori penghijrahan manusia purba, manusia berhijrah dari daratan ke pulau, bukan sebaliknya.
Saturday, June 12, 2010
"Once upon a time..."

Kerajaan Bangsa Mala merentasi kerajaan Kuno Bagan yang misteri di Burma,Kerajaan-kerajaan Mala-Saimen di tengah IndoChina,Angkor,Funan dan Champa di pesisir pantai Vietnam pada hari ini.Perubahan selama beribu tahun,peperangan dan penjajahan telah melenyapkan kerajaan-kerajaan ini.Namun sifat bangsa Melayu yang halus dan sukakan kesusasteraan dan ilmu pengetahuan telah meninggalkan sejumlah prasasti-prasasti yang menandakan BANGSA MELAYU PERNAH MEMBINA KERAJAAN DI INDOCHINA.
Kedatangan kaum-kaum seperti Tai,Lao,Khmer dan Dai Viet adalah fenomena baru sebenarnya jika dikira berapa lama bangsa Mala telah menginap dan membina kerajaan di Benua Siam.Kisah penjajahan,perebutan dan peperangan menghiasi Bumi Siam membuktikan betapa bangsa-bangsa di dunia sememangnya amat berminat untuk merebut Suvarnabhumi ini yang penuh kekayaan dan kesuburan.Kedatangan bangsa-bangsa Eropah selepas itu,membuktikan lagi pernyataan ini.Filipina yang dahulunya adalah milik bangsa Melayu telah jatuh ke tangan Sepanyol.Pulau-pulau Melayu Suvarnadvipa (Indonesia) dikuasai Belanda.'Golden Chersonese' pula dinaungi Inggeris.Portugis menjajah Timor selain pernah menduduki Melaka.Apakah maksud yang tersirat dari semua ini?
Kini jika kita lihat politik di Malaysia khususnya kita boleh lihat betapa bangsa-bangsa asing yang lebih terkemudian mendatang,sedikit demi sedikit mahu merebut Suvarnabhumi ini sekali lagi.Sebagaimana tamadun Melayu yang telah mencapai tahap legenda di Indochina,tidak mustahil bangsa misteri akan tinggal misteri di The Land of The East jika mereka masih terus bermimpi.Selepas pelbagai cabaran yang getir dengan penuh kepayahan,bangsa Melayu akhirnya kekal memegang Golden Chersonese dan Suvarnadvipa,namun pelbagai bangsa di dunia masih mengidam-ngidam bumi emas yang penuh kekayaan ini.Jika diberi peluang,pulau SEKANGKANG KERA seperti Pulau Batu Putih pun mereka sanggup bermatian mendapatkannya apatah lagi SEGENTING KERA kerana sudah terbukti pulau sekecil Singapura pun boleh menjana kekayaan berkali ganda dari seluruh Semenanjung Emas,apatah lagi jika mereka berhasil merebut Semenanjung Emas sendiri,tidak mustahil kekayaan seluruh Tanah Besar China juga boleh dijana dari sini.
Kita boleh menyelusuri sejarah tamadun Melayu seawal kerajaan Funan dan Champa (pasti ada yang lebih awal tetapi masih dalam kajian),sejarah penubuhan kerajaan mereka yang lebih awal dari sejarah Thailand,Kemboja dan Vietnam,puncak kegemilangan mereka dan kejatuhan mereka.Kita belajar dari sejarah kita di sana yang diyakini 94% orang Melayu hari ini tidak tahu langsung tentang tamadun mereka yang hilang di IndoChina dan menganggap Vietnam dimulakan oleh orang Viet,Thailand dimulakan oleh orang Tai,Burma tidak ada warisan Melayu atau Kemboja itu memang asalnya milik orang Khmer.Kita belajar bagaimana mereka membina negarakota-negarakota sebagaimana Ur,Uruk,Nineveh,Kish dan Babylon.Dan kita belajar sebab-sebab kejatuhan mereka,serta betapa ramai kaum di dunia sebenarnya mengidamkan kekayaan di The Land of The Gods.
erajaan ini sempat dikesan kerana terdapat dalam rekod-rekod Cina.Kerajaan Melayu Funan bukanlah kerajaan orang gua yang membina ran di atas pokok,tetapi kerajaan hebat yang menjalankan urusniaga sehingga ke kota-kota Rom dan Yunani berdasarkan artifak-artifak Eropah Kuno yang dijumpai di Vietnam.Rekod-rekod Cina menyebutkan kerajaan ini sebagai Funan atau B'iu-nam dan kewujudan telah disedari seawal abad pertama Masehi.Nama ini juga muncul dalam rekod-rekod China sekitar 221-280 Masehi dan hilang pada abab ke-7 Masehi.Mengikut Briggs (L.P.Briggs;1999:12) ada kemungkinan Funan hilang dari sejarah sekitar tahun 627 Masehi atau tidak lama selepas itu.Kewujudan kerajaan purba ini cuma dikesan melalui sumber-sumber Cina dan sejumlah prasasti-prasasti yang ditinggalkan.Di samping menggunakan nama-nama Sanskrit,raja-raja negeri ini juga menggelarkan diri mereka sebagai Sailenraja atau 'Raja Gunung'.Dalam bahasa tempatan ia digelar 'kurung bnam' yang juga bermaksud 'raja gunung'.Bangsa Funan dikenalpasti dari rumpun Melayu (D.G.E Hall;1979:34)
Pusat pemerintahannya terletak di bahagian hilir Sungai Mekong,namun kawasan pemerintahan meliputi selatan Vietnam,lembah tengah Mekong,lembah Chao Phraya dan Semenanjung Tanah Melayu.Walaupun kota dan pelabuhan utamanya,Oc-Eo terletak di pinggir Teluk Siam,akan tetapi ibukotanya Wijayapura (Wyadhapura) terletak lebih kurang 200 km dari laut berhampiran bukit Ba Phnom.
Dalam rekod Dinasti Chin ada menyebut tentang Funan ini:
Lebar wilayahnya 3000 li,Terdapat kota-kota bertembok,istana dan rumah di dalamnya.Lelakinya hodoh dan hitam,rambut mereka keriting.Mereka mundar-mandir tanpa pakaian dan berkaki ayam.Mereka hidup secara mudah dan tidak mencuri.Mereka menjalankan pertanian.Disamping itu mereka gemar mengukir perhiasan dan memahat.Banyak pinggan-mangkuk yang mereka gunakan untuk makan diperbuat dari perak.Cukai dibayar dengan emas,perak,mutiara dan minyak wangi.Mereka mempunyai buku,arkib dan sebagainya.Tulisan mereka menyerupai tulisan Hou.Perkahwinan dan upacara pengebumian mereka pada keseluruhannya sama dengan yang terdapat di Lin-yi. (B.R Chatterji;1964;18)
Kerajaan Funan inilah yang dapat dikesan setakat ini sebagai tamadun rumpun Melayu yang pertama (yang wujud dalam abad ke-1M hingga pertengahan abad ke-6M) atau jika hendak dikembangkan lagi atas nama Kerajaan Chenla (mengenangkan pengasasnya memang warisan Funan) sehingga 800M. Pusat pemerintahan Kerajaan Funan ialah di Vyadhapura, berhampiran dengan Phnom Penh sekarang, yang dihubungkan dengan terusan ke sebuah pelabuhan bernama Oc-eo atau Oc Eo di Vietnam sekarang, Provinsi Long Xuyen. Kerajaan Funan merangkumi sebahagian besar Indo-China sekarang hingga ke negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia sekarang. Dalam abad ke-3M hingga ke-6M seluruh Thailand Selatan dan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia sekarang ini berada di bawah Funan. Nama Kerajaan Funan ini sekaligus memberi makna “Melayu” itu sendiri. Perkataan Funan itu ialah ejaan bahasa Melayu moden kepada transkripsi bahasa China abad wujudnya Funan itu: Founan, Fou-nan atau Fou-Nan yang merujuk kepada Phnom bahasa “Melayu”-Mon-Khmer purba yang dalam bahasa Melayu kini ialah “Gunung”. Perkataan Phnom itu hidup sampai sekarang di Kemboja seperti pada nama ibu negaranya sekarang, Phnom Penh, itu yang jika diistilahkan dalam bahasa Melayu sekarang ialah “Gunung Banang” (“Gunung Banang” amat popular dalam puisi, nyanyian dan lagenda Melayu sehingga menjadi judul lagu asli, mungkin kerana nostalgia Melayu kepada Phnom Penh dan adanya legenda Melayu kononnya seorang adik Puteri Gunung Ledang itu namanya Puteri Gunung Banang yang diam di Gunung Banang di Johor). Ini menunjukkan bangsa yang berkerajaan di Kemboja itu ialah bangsa Uran Phnom (Orang Gunung; perkataan uran ialah transkripsi perkataan “Melayu” purba yang sudah ada di prasasti Campa abad ke-4M dalam aksara Hindia Palawa itu) yang disebut dengan pelat/loghat Chinanya sebagai Orang Funan. Apabila keturunan raja Funan ini lari dari Kemboja dan menubuhkan kerajaan barunya di Jawa Barat, maka kerajaan baru itu dinamai Sailendra (abad ke-7M hingga ke-8M) kerana ingin juga merujuk kepada asal-usulnya, “Orang Gunung” itu, kerana perkataan Sailendra/Silindra itu pun memang bermaksud “Tuan Mulia Orang Gunung”, malah ada istilah “Sailaraja” yang bermaksud “Raja Orang Gunung”.
Berkata perihal 'Bangsa Gunung',satu lagi bukti tentang orang Melayu asalnya “orang Gunung” ialah daripada tulisan Manansala,seorang sarjana sejarah.Beliau mencatat satu sumber China abad ke-3M lagi yang mengandungi rujukan kepada bangsa Melayu ini sebagai Kunlun dalam ungkapan Kunlun-po yang bermaksud “kapal Orang Gunung” (po ialah sebutan China kepada perkataan “kapal” sekarang; manakala kunlun itu satu lagi lafaz China dahulu (loghat/dialek lain) kepada pnom/phnom atau “gunung” itu, selain daripada Funan itu. Kapal Kunlun ini diperihalkan oleh sejarawan China abad ke-3M yang bernama Wan Chen yang katanya sampai kadang-kadang 200 kaki (sekitar 60m) panjang dan setinggi 20 kaki (sekitar 6m), dan boleh bermuatan sehingga 600-700 orang dan kargo seberat sehingga 900 tan (Fakta ini memang selalu dipetik oleh para pemuka teori “Budaya Gelombang” termasuk Geldern bagi membuktikan kemampuan berlakunya penghijrahan orang dahulu kala mengharungi lautan-samudera raya sekalipun, walaupun kesimpulan yang lebih pentingnya, ialah betapa tingginya tamadun rumpun Melayu sejak abad ke-3M lagi itu yang sekaligus membayangkan kehebatan ilmunya termasuklah kepemimpinan dan kepengurusannya. Kapal sebegini masih dapat disaksikan lukisannya di dinding candi Borobudur di Yogyakarta, Jawa Tengah, iaitu hasil binaan arkitek rumpun Melayu zaman Sriwijaya dan Sailendra abad ke-8M itu, yang mendahulu Wat Angkor di Kemboja itu. Candi Borobudur ini dianggap satu daripada benda ajaib di dunia, malah segi seni binanya lebih ajaib daripada piramid/ahram itu. Catatan sarjana China terkenal abad ke-7M bernama I-Ching (yang berada di Palembang beberapa tahun untuk menyalin kitab-kitab yang diminatinya dalam bahasa Melayu purba atau kuno ini), dengan jelas merujuk bahasa dan bangsa di Palembang itu sebagai bahasa dan bangsa Kunlun juga . Pengkaji sejarah Malaysia umumnya menggunakan istilah “Melayu purba” dan “Melayu kuno” (iaitu “ancient Malay”) dengan maksud yang sama, iaitu untuk rumpun Melayu dari abad ke-2M hingga abad ke-12M (kedatangan Islam). Lebih awal daripada sumber China ini, mengikut Manansala itu juga, dalam sebuah tulisan orang Yunani dalam abad pertama Masihi, Periplus Maris Erythraei, yang diterjemah kepada Inggeris 1912 sebagai The Periplus of the Erythraean Sea (Pelayaran ke Lautan Hindia) yang diterbitkan oleh Longman dan baru-baru ini diberi ulasan lagi oleh Casson terbitan Princeton Univ. Press 1989 ada memerihalkan kapal-kapal dari tempat yang dinamainya Chryse di Kepulauan Melayu ini dan kapal itu dinamainya Kolan-diphonta atau terjemahan harfiahnya “kapal-Kolan”, dan perkataan Kolan itu ialah versi Yunani kepada versi China, Kunlun itu.
Mengikut sumber China, raja-raja Funan yang dicatatnya ialah Fan-shih-man (205M-225M), Fan Shi-Shen 225M (mati dibunuh oleh sepupunya Fan Chan), Fan Chan (225M-330M), Fan Hsun (240/245M-250/285M), Jayavarman (iaitu Jayavarman I, yg memerintah 478M-514M), Rudravarman (yang memerintah 514-539M dan dianggap raja Funan terbesar yang terakhir). Mengikut sumber lainnya (Hindu dan prasasti), terdapat beberapa orang raja Funan lagi seperti Chandan yang memerintah sekitar 350M, Bhavavarman I sekitar 560M-570M dan Isanavarman (616-635M), walaupun sesetengah ahli sejarah mengatakan Bhavavarman I dan Isnavarman ialah raja Chenla, kerana dalam tempoh itu Chenla dan Funan dalam proses penyatuan, penyerapan atau pendominasian seperti yang dibicarakan nanti, malah Isanavarman dianggap menawan Funan pada 628. Pada kemuncaknya (kira-kira abad ke-5M), Empayar Funan merangkumi delta Mekong (sebahagian besar daripada Kampuchea dan Vietnam sekarang yang masa itu dikenali sebagai Campa dan Dai Viet), sebahagian besar Thailand sekarang (masa itu terkenal dengan Siam), Myanmar Selatan sekarang, hingga ke sebahagian besar Semenanjung Malaysia sekarang yang pada masa itu dikenali sebagai Langkasuka.
Keagungan Funan dalam bidang ilmu pengetahuan menyebabkan Dinasti China mengimport sarjana-sarjana Funan seperti Nagasen (sarjana yang diutus ke China 480M), dan Madrasena (sarjana yang diutus ke China pada 503M) untuk menjadi pensyarah kepada pegawai-pegawai dan cendekiawan China.Lihat,dahulu bangsa Melayu adalah bangsa yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu sehingga Emperor China pun terpaksa meminjamkan sarjana Melayu untuk mendidik bijak pandai mereka.
Tidak hairanlah ketika era Srivijaya,kelayakan seorang pendeta Buddha di China tidak lengkap jika tidak mendapat pengiktirafan dari universiti-universiti Srivijaya.
Pengganti kerajaan Funan ialah sebuah negeri peufti Funan juga (Chenla namanya, tetapi mungkin sekali suku kaum yang berbeza, walaupun serumpun agaknya), malah raja Chenla yang menawan Funan itu, Bhavavarman I, ialah cucu raja Funan bernama Rudravarman yang hebat itu. Agaknya Bhavavarman I sedar akan kemungkinan besarnya yang beliau tidak mungkin menjadi raja Funan, maka beliau pun berkahwin dengan seorang putri raja Chenla (negeri di daerah Laos sekarang tetapi dewasa itu di bawah naungan Funan) yang bakal menjadi raja kerana ketiadaan putra raja, dan seterusnya beliau menjadi raja Chenla itu sehingga mampu menawan Funan pula. Dengan kemenangan itu, Bhavavarman I (walau berasal daripada keluarga raja Funan tetapi dipengaruhi oleh permaisurinya) mula menghakis kebudayaan Funan dengan men-Chenla-kan (meng-Kambuja-kan?) kerajaan Funan sehingga pada zaman raja Funan-Chenla bernama Isnavarman itu dikatakan berjaya sepenuhnya dalam penyatuan Funan dengan Chenla dengan penubuhan ibu negaranya yang baru bernama Sambor sekitar 40Km drp Angkor. Tidak hairanlah tarikh penawanan Funan oleh cucu raja Funan itu seringlah dianggap tarikh kejatuhan Funan dan bermulanya kerajaan baru, kerajaan Chenla, yang berupa tunas pembentukan kerajaan Khmer purba yang dikenali sebagai Kambujadesa dan kemudiannya dirujuki oleh ahli sejarah barat sebagai Empayar Angkor.
Seperti yang telah dijelaskan di atas, kerajaan Funan dijatuhkan oleh sebuah negeri peufti Funan yang dikenali oleh Khmer sebagai Kambuja atau Chenla mengikut catatan China pada pertengahan abad ke-6M. Kerajaan baru ini mula dikenali pada 613M apabila ibu negaranya berpindah ke Isanapura di Sambor Prei Kuk di daerah yang kini dinamai Kampong Thom di Kampuchea. Namun kerajaan baru ini tidak dapat bertahan di pesisiran pantai kerana serangan orang-orang dari Malaysia dan Indonesia sekarang yang mereka merujuknya sebagai Jva sahaja (sama seperti Arab menyebut orang Jawa atau Jawi hingga sekarang) yang tentunya dari kerajaan Sailendra/Saliendra berpusat di Jawa yang sedang menjadi kuasa besar pada kurun yang sama itu. Sebenarnya kerajaan Sailendra ini diasaskan oleh raja Funan yang lari ke Jawa apabila dikalahkan oleh raja Chenla itu. Oleh itu kerajaan Chenla/Kambuja pengganti Funan itu mengundur ke bahagian pedalaman Kampuchea sekarang dan membina kekuatan di situ bermula daripada seorang rajanya yang bernama Jayavarman II (sebenarnya seorang raja warisan daripada raja Kambuja atau Chenla yang menjatuhkan Funan dahulu, malah Jayavarman I ialah raja Funan 478-514) yang apabila berjaya memperkuatkan takhta kerajaannya lalu mengisytiharkan dirinya sebagai deva-raja pada 802 dan memerintah sehingga 834. Jayavarman memang bermakna “pelindung yang berjaya”. Ada ahli sejarah menganggap beliaulah raja tamadun Khmer purba yang pertama yang juga sering di rujuk sebagai raja Tamadun Angkor yang pertama, atau pelandas/pembangun Tamadun Angkor.
Kemuncak kerajaan Chenla ini ialah di bawah rajanya yang bernama Jayavarman I sekitar 750M. Tidak hairanlah ahli-ahli sejarah Kampuchea menganggap kerajaan Funan itu sebagai kerajaan pra-Chenla, pra-Kambujadesa atau pra-Angkor, kerana tamadun Kampuchea bermula dengan Tamadun Funan dan berkemuncakkan dengan Tamadun Kambuja yang berpusat di Angkor yang terkenal dengan binaan Wat/Vat Angkor pada abad ke-12M yang terkenal sebagai satu daripada benda ajaib dunia, walaupun secara rasminya nama Kambujadesa ini mungkin sekali bermula pada pertengahan abad ke-10M sahaja, iaitu zaman Raja Khmer purba yang bernama Rajendravarman seperti yang diterangkan sebelum ini. Namun sesetengah ahli sejarah mengatakan nama Kambujadesa atau Kambuja (dengan ejaan Rumi Melayu-nya mulai abad ke-20M sebagai Kemboja kerana masalah perubahan ejaan dari yang asal kepada Jawi dan ke Rumi) itu dipakai antara 9M hingga 13M. Jelaslah Kambujadesa (atau Kambuja sahaja, yang mengikut ejaan Rumi Melayu-nya, Kemboja, dan ejaan yang dipengaruhi oleh Perancis atau Inggeris ialah seperti Kamboja, Cambodia, Cambodge dan kini Kampuchea) memang sukar dipisahkan dengan Funan dan kerajaan rumpun Melayu purba. Tamadun Funan dengan tamadun Angkor memang akrab sehingga seni bina Angkor dengan Funan memang sukar dibezakan seperti yang dipaparkan dalam buku Briggs (1951/1999). Ini menimbulkan persoalan tentang pengiktirafan ahli sejarah yang mengiktiraf tamadun Funan sebagai tamadun rumpun Melayu terawal tetapi tidak pula mengaitkannya dengan tamadun-tamadun Mon-Khmer purba selepas itu (Kambujadesa dan Angkor), mungkin semata-mata kerana bahasa Mon-Khmer dikatakan serumpun dengan Orang Asli Malaysia seperti Sakai itu, iaitu bahasa Austranesia, sedangkan bahasa Melayu dikelaskan sebagai bahasa Polinesia. Atau bagi setengah pihak, bahasa Melayu sebagai bahasa Austranesia tetapi bahasa Mon-Khmer bukan bahasa tersebut.
Jika dihitung prasasti yang dirakamkan oleh Majumdar (1953), zaman kerajaan Funan-Chenla ada meninggalkan 200 buah prasasti (batu bersurat) yang 80 daripadanya dalam bahasa Mon-Khmer purba yang dikatakan ada hubungan dengan bahasa Melayu Purba itu dan yang tertuanya bertarikh 531 Syaka/Saka/Shaka (=609M). Prasasti zaman Funan sebenar (sebelum abad ke-6M) dianggarkan oleh Muhammad Alinor (pengkaji gigih tamadun Funan di UKM) hanya sebanyak 11 buah yang juga dalam bahasa Sanskrit dan Mon-Khmer. Di antara prasasti Funan-Chenla itu ada simbol sifar yang tertua tarikhnya (awal abad ke-7M) dan sekaligus kita boleh menyimpulkan sistem angka perpuluhan yang tertua di dunia wujud pada prasasti zaman tamadun Funan-Chenla ini kalaupun bukan zaman kerajaan Funan sebenar-benarnya. Walau bagaimanapun, setakat ini, yang jelasnya bahasa pada prasasti Funan itu ialah Sanskrit dan Mon-Khmer sahaja, walaupun mengikut Sharan (1974) Funan ada bahasanya sendiri (rumpun Melayu?) yang menggunakan aksaranya sendiri (dipercaya diperkenalkan oleh Saka atau Syaka, seorang Brahmin India di Funan) yang berasaskan aksara Sanskrit itu.
Selain daripada itu Funan juga ada sistem percukaian tersendiri (termasuk impot-ekspot), dan perakaunan yang cukup mantap. Sebahagian daripada kemampuan ini ialah kerana ternyata Funan mempunyai sistem angka perpuluhannya yang tersendiri yang mengandungi angka (simbol nombor) sifar/kosong yang tertua di dunia (selewat-lewatnya pada awal abad ke-7 lagi seperti yang disebut di atas, dan besar kemungkinannya dalam abad ke-6 lagi) jauh lebih awal daripada sistem angka Muslim atau Hindu yang biasanya dikatakan tertua di dunia itu. Kajian pentadbiran Tamadun Kambujadesa mulai abad ke-7 Masehi yang dilakukan oleh Sharan (1974) itu sedikit-sebanyaknya dapat juga memberikan gambaran lebih terperincinya lagi akan pencapaian pengurusan dan pentadbiran Funan, walaupun kajiannya semuanya berasaskan prasasti Kambuja yang dalam bahasa Sanskrit sahaja. Kajian sepertinya untuk prasasti dalam bahasa Mon-Khmer purba itu nampaknya belum dilakukan hingga kini.
Friday, June 11, 2010
Kerajaan Melayu Sriwijaya
Maklumat yang dipaparkan di sini diperoleh dan diolah daripada internet dengan meminta “indonesian history”, srivijaya, sailendra, khususnya di Internet 1.8 di dalam senarai rujukan buku ini dan juga daripada buku Chatterji (1967), Sastri (1949), dan Slametmuljana (1970,1981), dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks di tempat-tempat yang berkenaan.
Kerajaan Sriwijaya (atau Srivijaya) wujud pada akhir abad ke-7M hingga ke-13M berpusat di Palembang, Sumatera dan pada kemuncaknya keluasan empayarnya benar-benar meliputi rantau yang terkenal sebagai Alam Melayu, iaitu hingga ke Sri Lanka (dikenali pada Zaman itu sebagai Sirandip/Suvarndip/Silan), Thailand Selatan, hingga ke Taiwan di Utara, dan merangkumi Philippina dan Sulawesi ke Timur dan hingga sebahagian besar pulau Jawa di Selatan (Shaharir 1987/2000). Kewujudan seorang raja negeri yang sekarang namanya Sri Lanka pada masa dahulu kala yang bernama Serendip yang dikatakan selalu mendapat nasib yang baik itulah menyebabkan Inggeris tertarik untuk menjadikannya satu perkataan baru bagi Inggeris, iaitu serendipaty, yang membawa maksud itu. Pusat pemerintahan kerajaan Sriwijaya yang awal ialah Bukit Seguntang/Siguntang, tetapi kemudian berpindah ke Jambi (yang dicatat di prasasti di Batang Hari 1286M itu sebagai malayapura), dan ada pendapat mengatakan Chaiya (daripada “Cahaya”) di Surat Thani, Thailand Selatan sekarang pun pernah menjadi pusat Kerajaan Sriwijaya apabila kerajaan Langkasuka dapat dijadikan jajahan takluknya (Lihat Internet 1.12; dan seksyen 1.9). Berkenaan Bukit Seguntang sebagai pusat pemerintahan Sriwijaya itu amatlah bersesuaian dengan cerita dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang (1612) itu. Kerajaan Campa masih wujud dan menjadi saingan kerajaan Sriwijaya, tetapi ternyata Kerajaan Sriwijaya-lah yang diiktiraf gagah dan bertamadun yang lebih tinggi seantero dunia sebagaimana yang digambarkan oleh catatan dalam bahasa China sebagai negara komersil dan kerajaan yang besar dengan pelbagai nama (apabila ditranskripsi ke Rumi oleh Sarjana Barat). Antaranya ialah Syel-li-fo-sye’/She-li-fo-she’/shelifosche/Se-li-fo-se/San-fopts’i/Sanfotsi/ Fo-che dalam kurun ke-10 hingga ke-14M, tetapi pada abad ke-7M (peringkat awal Kerajaan Sriwijaya) penulis China merujuknya sebagai He Ling dan Ka Ling, atau nama Sumatera, iaitu Ku-Kang, P’o-lin-pang/Pao-lin-pang/Pa-lin-pang/Pa-lin-fong. Sumber Hindu ada yang merujuk Sriwijaya ini sebagai Sribhoja, dan ada yang merujuk dengan nama tempat kerajaan Sriwijaya sahaja, iaitu Suvarnadvipa (Sumatera). Sumber Arab menyebut Sriwijaya sebagai Zabaj/zabag/Sribuza/Sribusa (apabila sarjana barat mentranskripsikannya kepada Rumi) iaitu daripada Sribhoja itu, dan ada yang merujuk atas nama tempat kerajaan ini, sebagai Rami/Ramini/Ramni (iaitu Sumatera, walaupun ada yang berpendapat ini juga merujuk kepada Mon) yang pelbagai.
Mengikut Zulkifli (t.t), pada sekitar 692 (selepas matinya Maharaja Raja Jayanaga), Kerajaan Sriwijaya terbahagi kepada dua bahagian: kawasan Langkasuka yang diberi nama barunya Amdan Negara diletak di bawah anak tua mendiang raja itu, Maharaja Dipang; dan anak keduanya, Maharaja Dhiraja, memerintah Sumatera dan tanah jajahan Sriwijaya yang lain. Selepas beberapa tahun demikian, sebahagian daripada Amdan Negara, iaitu kira-kira Kelantan sekarang diberi nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, dan nama ini masih dipakai di Kelantan dan dalam Mak Yong dan Wayang Kulit Kelantan. Pada 730M ibu kota Sriwijaya di Sumatera, Langkapura di Palembang, berpindah kepada Kota Mutajap yang hampir dengan muara sungai Jambi di Sumatera.
Bukti kehebatan pengurusan zaman Sriwijaya (bersama kerajaan Sailendra di Jawa Barat dan Tengah sekarang) juga terpancar daripada penyiapan Candi Borobudur di Yogyakarta, Jawa Tengah yang dibina di sekitar abad ke-8M dan menjadi satu daripada benda ajaib dunia itu. Ilmuwan China bernama I-Ching/I-Tsing/Ye-Shing/Yi Jing 688-695M berada di Palembang untuk menyalin ratusan buah buku ilmu dalam bahasa tempatan (Melayu) yang dirujuki sebagai Kunlun (dan berbagai-bagai ejaan yang lain lagi itu termasuk ejaan sarjana Perancis: Koeun Louen) yang asal-usul perkataan ini telah dibicarakan dalam Bab 1, seksyen 1.6.
Bukti yang jelas betapa sistem pemerintahan dan pengurusan zaman Sriwijaya berupa suatu keadaan yang dikagumi ialah pengakuan seorang pegawai kastam dari China pada abad ke-13M yang bernama Cau (Chau) Ju-Kua yang mencatatkan pentadbiran Sriwijaya yang hebat dan teknologi yang canggih tentang pelabuhan di Sriwijaya dan tentang kehebatan Wat Angkor. Satu lagi bukti pengurusan yang berbezanya dengan tamadun-tamadun lain sezamannya atau sebelumnya ialah betapa rekod-rekod pengurusan perniagaan dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih mudahnya dengan adanya sistem angka perpuluhan rekaan sarjananya selewat-lewatnya abad ke-7M lagi seperti yang dihuraikan oleh penulis ini di tempat lain itu (Shaharir 1998/2000). Ringkasnya, sistem angka perpuluhan ini dikumpul oleh penulis ini daripada prasasti (batu bersurat) zaman Sriwijaya dan bentuk seperti tulisan Hindia purba (khususnya Pallava) tetapi berbeza daripada angka-angka Hindia itu. Malah kajian kami selanjutnya (Shaharir 2007 dan Alinor 2007) menunjukkan angka perpuluhan Melayu ini boleh dipercayai yang tertua di dunia hasil karya sarjana Melayu Campa atau Funan lagi. Contoh angka Melayu kuno ini ialah ……………untuk angka 1945. Beberapa unit bilangan yang berupa awalan berbentuk bi-/dwi-, tri-, catur-/kater-, panca-/sanki-, sisi-, sita-/septa-, witi-/asta-, nuka-, wisyi-/dasa- (terkenal sebagai penjodoh bilangan, atau pekali angka) dipercayai telah wujud dalam zaman Sriwijaya lagi; dan tiada padanan sepenuhnya dengan yang dicipta di Eropah mulai abad ke-13M hingga ke-17M sahaja itu (iaitu by-/bi-, tri-, quadri-, quyl-, six-, septi-, octa-, nony-/noni-) dan tiada juga padanan sepenuhnya dengan yang dicipta dalam Tamadun Hindu. (Perinciannya dalam Warkah Berita PERSAMA 2004). Bilangan laksa, keti dan juta sudah ada zaman Sriwijaya tetapi di Barat, million baru dicipta abad ke-13M bahkan tiada unit Barat yang setara dengan laksa dan keti.
Dalam buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang 1612 (asalnya manuskrip Jawi) ada menggambarkan corak kepemimpinan dan kepengurusan Melayu sebelum Islam yang boleh dianggap Sriwijaya kerana merujuk Palembang. Di dalamnya ada perihal sumpahan raja pertama Melayu di Palembang, Sang Utama Sri Tri Buana dengan Demang Lebar Daun (Menterinya, yang mewakili pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat jelata) yang sekaligus memberi sifat-sifat pemimpin atau pengurus Melayu dan orang Melayu Sriwijaya:
1. Raja tidak boleh sekali-kali memalukan orang bawahnya walau sebesar mana sekalipun dosa orang bawahannya itu.
2. Raja tidak sepatutnya digodak-godek, dipertanggungjawabkan atau di kutuk dengan kata-kata yang tidak menyenangkan.
3. Orang Melayu pantang menderhaka kepada rajanya, malah orang Melayu tidak sanggup menunjukkan apa-apa kelemahan rajanya.
Ini menjadi ciri-ciri kepemimpinan Melayu yang perlu disedari atau diinsafi oleh pemimpin-pemimpin sekarang sekalipun apabila “raja” dalam 1 hingga 3 di atas itu digantikan dengan “pemimpin”. Umpamanya, ketua dalam organisasi Melayu tidak seharusnya menegur seseorang bawahannya di khalayak ramai atau di hadapan para pekerja lain. Ini bertentangan dengan budaya Barat yang terbuka itu.