Kapal-kapal Bani Jawi
*Ukiran kapal Nusantara di sebuah candi di Indonesia
Inovasi tukang perahu Melayu boleh dilihat pada silih bergantinya rekabentuk perahu yang mereka bina, termasuk jenis kemudi, abah-abah dan layar.Kini, bentuk perahu yang disebut dalam sastera Melayu lama, seperti jong, keci dan katar telah tidak kedengaran lagi. Bentuk-bentuk perahu itu sudah diganti dengan yang baru yang lebih kecil dan efisyen untuk pelayaran di laut kepulauan Melayu yang mulai sibuk setelah kedatangan kapal dari Eropah, selain lebih
senang untuk mengelak dari ditahan kapal peronda yang menguatkuasakan monopoli perdagangan Inggeris dan Belanda. Perubahan bentuk perahu itu disusuli perubahan jenis kemudi: dari kemudi birai kepada kemudi tetap dilinggi belakang.Untuk mendapat kuasa maksimum, layar empat segi yang biasa digunakan perahu Melayu itu telah juga diganti dengan layar empat segi yang lebih luwes dan yang boleh dinaikkan dan diturunkan menggunakan puli.Layar cucur juga adalah perkembangan baru kerana ia tidak terdapat pada perahu Melayu sebelum abad ke-18 (Gibson Hill 1954). Perubahan-perubahan itu adalah sebahagian daripada proses peniruan dan penyesuaian dengan berpandukan model kapal-kapal India, Cina, Arab dan terakhir sekali Eropah yang sampai ke Alam Melayu seiring dengan perkembangan perdagangan. Penyesuaian ini bukanlah secara ikut-ikutan; sebaliknya disesuaikan dengan keperluan dan sumber yang sedia ada.
Perahu bedar yang digunakan sehingga abad ke-20 adalah satu lagi inovasi hasil penggabungan pelbagai pengaruh. Badannya yang meruncing di keduadua hujung itu berbentuk tipikal perahu Melayu, walaupun linggi dipasang di atas lunas dan bukan disambung seperti yang terdapat pada kebanyakan perahu yang lebih awal, termasuk kolek. Bentuknya dipanggil belakang katup, manakala deknya dipanggil dandang dipasang di atas birai belakang untuk meletakkan kub atau rumah perahu. Kemudi di belakangnya itu adalah sama dengan kemudi pada perahu Cina dan Barat kerana dipasang dengan halkah kepada linggi belakang dan dikendali dengan uling-uling di atas dandang. Perahu bedar mempunyai tiang sprit untuk mengikat layar cucur seperti kapal Eropah, manakala layarnya sama seperti wangkang Cina kerana menggunakan satu atau dua layar apit yang dibuat dari tikar kercut dan rotan.
No comments:
Post a Comment